Wednesday, December 30, 2009

Curik Dari Blog MakCik Nani

Curik ke? curik laa tu... tak mintak kebenaran... Makcik ke? Tak kot... kakak je kot... tapi, rasa boleh di letak kat sini supaya boleh baca selalu dan ingat dan buat panduan. Parenting tips yang rasa macam simple tapi powerful tapi susah nak dihayati dah dipraktikkan.



DIA MAKCIK SAYA

Dulu saya paling 'adore' sikap salah seorang makcik saya terhadap anak-anaknya.Beliau seorang lemah lembut dan penyayang.

Sewaktu kecil dulu, hampir setiap hari saya akan bertandang dan bermain di rumah makcik saya ini, jadi saya memerhatikan cara dia membesarkan anak-anaknya. Beliau memang seorang ibu yang sangat mengambil berat akan keperluan anak-anaknya sekalipun kehidupan mereka sekeluarga bukan lah senang sangat.

Dari keperluan makanan, pakaian, perkakas dan yuran sekolah hinggalah kepada sesuatu yang kurang perlu seperti barang-barang permainan anak-anak tetap disediakan sebaik mungkin walau pendapatan orang kampung seperti kami waktu itu sekadar kais pagi makan pagi.

Sikapnya yang sangat redha dan penyabar dan mendidik anak-anak yang sedang meningkat remaja, memang sangat saya kagumi. Hampir tidak pernah melihat beliau meleteri anak-anaknya. Ada waktu-waktunya, bila anak-anak membangkang nasihat beliau, beliau cuma menunjukkan kemarahan dan kekecewaan beliau dengan deraian airmata.

Sekarang bila saya mendidik anak-anak, banyak sifat-sifat mak saudara saya terapkan dalam diri saya. Saya jadikan dia sebagai idola saya kerana dalam diri beliau memang ada ilmu 'parenting skill' secara semulajadi.

Bagi saya untuk menjadikan anak-anak anda hebat, anda haruslah sanggup menjadi ibu yang hebat. Namun tidak ada jalan yang mudah untuk menjadi ibu yang hebat melainkan anda :-

1. Seorang ibu yang rajin. Anda akan sentiasa dikagumi oleh anak-anak apabila anda mempunyai sifat rajin. Anak-anak juga mahu sentiasa menjadikan anda idola mereka. Ini menjadikan mudah untuk mendidik anak-anak untuk sentiasa mendengar nasihat anda.

2.Seorang ibu yang suka masak. Menangi hati suami dan anak-anak melalui masakan anda.

3. Jadilah ibu yang suka mendengar daripada didengar. Ibu yang tidak banyak bercakap atau berleter, lebih dihormati dan disayangi anak-anak.

4. Jadilah insan yang penyayang terhadap semua makhluk Allah s.w.t. Sayang binatang terutama binatang kesayangan nabi kita s.a.w iaitu kucing juga merupakan satu terapi untuk mendidik dan memupuk perasaan kasih-sayang dalam diri anak-anak.

5.Selalu duduk bersama semua anak-anak untuk mendengar mereka bercerita apa saja topik dan ambil peluang untuk anda bercerita tentang kisah-kisah tauladan dan kisah sewaktu anda kecil.

6. Cuba sedaya upaya memenuhi apa sahaja kemahuan anak-anak dan terangkan secara terperinci sekiranya kita tidak mampu untuk memenuhinya.

7. Usahakan untuk sering bersama anak-anak walau kemana kita pergi terutama ke tempat-tempat yang disukai oleh anak-anak.

8. Anak pertama yang berjaya akan menjadi ikutan adik-adiknya. Sekiranya anda mampu, pastikan anak pertama mendapat pendidikan yang terbaik seawal mungkin.

9. Jangan paksa anak anda makan banyak. Sekiranya dari kecil anak anda sudah biasa makan banyak, mereka hanya ingat makan, makan dan tiada kepentingan lain selain dari makan dan otak akan berhenti bekerja.

10. Jadilah ibu yang penyabar dan penuh kasih sayang. Hari ini anda menyayangi anak-anak, esok lusa anak-anak akan lebih menyayangi anda.Apabila anak-anak menyayangi ibu mereka, sudah pasti mereka berusaha untuk menggembirakan hati ibu bapa.

http://nanirostam.blogspot.com/2009/12/dia-makcik-saya.html

No comments: